Dr. Raman (tiga dari kanan) bersama Thomas pada sesi pertukaran dokumen MoU antara UMS dan TalentCorp Malaysia.

KOTA KINABALU – UMS menerusi Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama TalentCorp Malaysia sebagai salah satu inisiatif menyokong Pelan Strategik Kebolehpasarasan Graduan yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Madya Dr. Raman Noordin. berkata, kolaborasi antara PKPKP UMS bersama TalentCorp akan menyokong teras utama pelan berkenaan terutamanya dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan, mengukuhkan pelaksaaan profiling kerjaya pelajar yang komprehensif dan memperkasakan jaringan antara universiti dan industri.

“Menerusi kolaborasi ini, UMS menyediakan platform kepada TalentCorp Malaysia untuk menyumbangkan kepakaran dalam perundingan dan penyelesaian isu berkaitan pembangunan bakat.

“UMS komited dalam agenda pembangunan kerjaya dan keusahawanan pelajar. Seperti yang kita sedia maklum, usaha mempersiap bakal graduan tidaklah boleh dilakukan oleh universiti sahaja. Ia harus melibatkan usaha kolektif bersama industri,” katanya yang membacakan teks ucapan naib canselor pada majlis MoU tersebut.

Menurutnya, sejak PKPKP UMS ditubuhkan pada tahun 2018, beberapa program kolaborasi bersama TalentCorp giat dilaksanakan seperti penganjuran ‘Young Employable Students’ (YES), Finishing School, Career Talk Siries, Bengkel myNext, Karnival Kerjaya MyCareer Zon Borneo dan Kisah Siswa.

Menurutnya, usaha berterusan seperti itu adalah faktor menyumbang pencapaian kadar kebolehpasaran graduan UMS yang membanggakan.

“Justeru, diharapkan daripada pelaksanaan berterusan program seperti ini, aspek pembangunan kerjaya siswa dan siswi khususnya bakal graduan UMS dapat diperkasa dan sekali gus menyahut seruan untuk melahirkan generasi yang berkualiti dan future-proof,” ujarnya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew, Pengarah PKPKP UMS, Prof Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh dan Ketua Pegawai Pembangunan Modal Insan, Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA), Janet Lee Oi Chin. – MalaysiaGazette