KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menghantar notis tuntutan berikutan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.
Fadhlina juga menghantar surat tuntutan sama kepada Harakah Daily atas dakwaan yang sama melalui firma guaman Ibrahim & Fuaadah semalam.
Untuk makluman, ia berkaitan kenyataan Zulkifli di Harakah Daily dengan tajuk ‘Ajaran Siapa Tak Boleh Takbir di Sekolah?’ pada 6 November lepas.
Fadhlina dalam tuntutannya mendakwa artikel itu membawa maksud beliau seorang yang tidak patuh serta jujur dengan ajaran Islam yang diajar oleh Rasululah SAW malah juga memberi gambaran beliau mempunyai agama terpesong serta munafik.
Menurutnya, KPM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan larangan berkaitan takbir dan bacaan Qunut Nazilah.
Dalam tuntutan tersebut, Fadhlina telah memohon supaya kedua-dua defendan untuk menarik balik artikel tersebut selain permohonan maaf tanpa syarat selain memberi akujanji tidak akan menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.
Turut dituntut ialah ganti rugi sebanyak RM500,000 terhadap kecederaan reputasi berikutan artikel tersebut.
Andainya enggan firma Ibrahim & Fuaadah akan memulakan prosiding undang-undang terhadap kedua-dua defendan. -MalaysiaGazette