Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kabinet akan membincangkan cadangan berhubung perluasan liputan perlindungan sosial secara berfasa ke atas populasi umur bekerja rakyat Malaysia yang mencapai umur 18 tahun bagi menjamin pendapatan hari tua bermula tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang bermesyuarat hari ini bersetuju dengan perkara itu dan ia telah dibincangkan untuk diperhalusi oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui Kementerian Kewangan.

“Melalui MySPC, kerajaan menyasarkan agar jaringan keselamatan sosial negara dapat diperkukuh dan diperluaskan, malah ia perlu segera diterjemahkan kepada pelan tindakan yang dapat dilihat, dirasai dan dinikmati oleh rakyat yang berhak ke atasnya.

“Hasrat tersebut boleh dicapai melalui penyelarasan dan pelaksanaan program-program perlindungan sosial secara inklusif serta program peningkatan kapasiti dan keupayaan kumpulan sasar yang bersepadu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan sentiasa meneliti kaedah terbaik dalam meningkatkan liputan keselamatan sosial kepada populasi umur bekerja terutamanya yang berada dalam sektor tidak formal selain berusaha untuk mengatasi jurang kemahiran dalam sumber manusia serta memastikan kemampanan
pembiayaan perlindungan sosial.

Jelasnya, perkara itu adalah selari dengan pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu.

“Perlindungan sosial yang mampan mampu memastikan setiap rakyat kekal menikmati taraf hidup yang wajar ketika mereka berdepan dengan sebarang risiko di sepanjang kehidupan.

“Kerajaan melalui Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) telah membincangkan mengenai liputan perlindungan sosial yang lebih inklusif dan komprehensif kepada rakyat terutama kumpulan rentan dan mereka yang berada dalam sektor tidak formal,” ujarya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast