SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat semakin diterima oleh kaum Melayu, kata Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Timbalan Presiden itu berkata, penerimaan itu turut disandarkan dengan kerjasama dengan Pas bagi membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Bersatu semakin diterima oleh kaum Melayu berbanding dengan UMNO. Maka, apabila Bersatu bergabung dengan Parti Islam SeMalaysia (Pas), Perikatan Nasional terus menjadi wadah perjuangan utama bagi umat Melayu di Malaysia.
“Musuh-musuh politik Perikatan Nasional sebolehnya mahu menggagalkan kerjasama ini. Dalam masa yang sama, telah cuba untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu dengan mencipta ungkapan ‘Pemerintahan Taliban’.
“Sejurus Perikatan Nasional berjaya memenangi 74 kerusi semasa PRU yang lepas, segera pihak-pihak ini mencipta ungkapan baru, ‘The green wave’,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di IDCC, Shah Alam, hari ini.
Turut hadir adalah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan dua naib presidennya, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee serta Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut membidas golongan yang meletakkan stigma bahawa Islam itu agama pengganas atau pada pengertian ramai di Malaysia sebagai ‘Taliban’, mesti dihentikan.
“Kata- kata seperti ‘extremists’, ‘dark ages’, ‘non-progressive’ yang dikaitkan dengan kepemimpinan Islam amat menyinggung perasaan.
“Stigmatisation ‘Taliban’ dan ‘Green Wave’, ini amat merbahaya kerana ianya akan membenihkan racism dan merendahkan sesuatu kaum.
“Dalam jangka masa panjang ianya tentu akan lebih merbahaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette