Media berkampung di hadapan IPD Putrajaya di Presint 7 sejak jam 1 tengah hari tadi untuk merakam kemunculan ketua penguatkuasaan kerajaan untuk dirakam keterangan.

PUTRAJAYA – Seorang Ketua agensi penguatkuasaan kerajaan yang disiasat kerana disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita selesai memberi keterangan hari ini.

Difahamkan individu bergelar Datuk berusia 50-an itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya bersama peguamnya kira-kira jam 2 petang tadi.

Beliau memberi keterangan selama kira-kira 90 minit kepada pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa polis akan mengambil keterangan daripada individu tersebut pada jam 2.30 ini di IPD Putrajaya.

Arahan itu menyusul selepas media melaporkan tentang seorang wanita yang membuat laporan polis ke atas pegawai itu pada minggu lepas bahawa dia menjadi mangsa gangguan seksual.-MalaysiaGazette