Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap kepada pemberita pada sidang media di lokasi kemalangan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Laluan Persekutuan FT3217, Jalan Industri Meru Seksyen 9.3, Klang Selangor.

KLANG – Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM16.3 juta di bawah Program Penyelenggaraan Berkala Pavemen, Berkala Bukan Pavemen, Jambatan dan Penyelenggaraan Lampu Jalan dan Lampu Isyarat di Jalan Persekutuan, di sini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan bagi kerja-kerja menaiktaraf dan penyelenggaraan itu membabitkan laluan Persekutuan di daerah ini sepanjang lebih 185 kilometer.

“KKR bersama Kementerian Pengangkutan akan menyalurkan sebanyak RM50 juta secara Geran Padanan bagi menyelenggara laluan-laluan yang sering digunakan oleh kenderaan berat di sekitar jalan Pelabuhan Klang pada 2024.

“Senarai lokasi ini perlu disemak dengan teliti supaya ia mengambil kira kaedah rawatan yang sesuai bagi menampung beban kenderaan berat yang banyak di kawasan Pelabuhan Klang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi membuat tinjauan ke lokasi kemalangan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Laluan Persekutuan FT3217, Jalan Industri Meru Seksyen 9.3, Klang Selangor.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja ke lokasi kemalangan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Laluan Persekutuan FT3217, Jalan Industri Meru Seksyen 9.3 di sini, pada 18 November lalu.

Hadir sama Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali dan Ahli Dewan Negeri Meru, Siti Mariam Abdul Rashid.

Dalam pada itu, Alexander mengakui KKR memerlukan kewangan yang besar untuk memastikan laluan di Jalan Persekutuan dalam keadaan baik bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

“Semuanya memerlukan kewangan begitu besar, selagi kita belum dapat kewangan besar, kita perlu menyempurnakan semua kerja.

“Sekurang-kurangnya kita akan buat kerja-kerja yang mana kita mampu buat sekarang,” katanya.

Beliau mengakui masih ada segelintir pemilik kenderaan berat yang meletakkan di lokasi kemalangan itu menyebabkan jalan terbabit rosak semula.

“Sebenarnya kita sudah buat kerja-kerja (pembaikan) baru-baru ini, kalau ada berlaku (kerosakan), kita akan sentiasa buat untuk jangka pendek,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast