Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis akan melaksanakan penguatkuasaan lebih rapi bagi mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya, sejajar dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia untuk tempoh 2022 hingga 2030.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pada Op Perdagangan terhadap kenderaan berat bermula 20 September hingga 14 November lalu sebanyak 21,200 saman dikeluarkan dengan 109 tangkapan dilakukan.

“Jumlah tersebut dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 135,193 buah kenderaan yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSJT) Bukit Aman sepanjang tempoh penguatkuasaan Op Perdagangan tersebut.

“PDRM melalui JSPT memandang serius terhadap kes kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori dan bas, sehingga mengorbankan nyawa orang lain yang tidak bersalah,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan PDRM di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurut Razarudin, polis melaksanakan 1,078 operasi sejak Januari hingga November tahun ini berbanding 797 operasi untuk tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, menerusi operasi itu pelbagai kesalahan telah dikesan oleh JSPT seperti membawa muatan berlebihan dan dalam kenderaan berada keadaan fizikal tidak memuaskan yang boleh menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Di majlis sama, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 27 orang pegawai polis dan pegawai awam dari semua jabatan yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast