Remaja lelaki pamer plat nombor palsu 'Mat Rempit' ditahan dan dikompaun polis Ampang Jaya kelmarin.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki ditahan polis di Pandan Indah, Ampang, di sini, pada Selasa lalu kerana tidak mempunyai nombor pendaftaran kenderaan, sebaliknya mempamerkan stiker  ‘Mat Rempit’ pada motosikalnya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, penunggang berusia 20 tahu itu dan motorsikalnya telah dibawa balik ke Balai Polis Trafik Ampang untuk membantu siasatan.

“Pada jam lebih kurang 11 pagi, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang jaya telah menjalankan Ops Lawlesness sekitar Pandan Indah.

“Semasa rondaan dijalankan di Jalan Pandan Indah, seorang lelaki warga tempatan telah ditahan semasa menunggang motorsikal yang mempamerkan nombor pendaftaran “MAT REMPIT” pada plat belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Remaja menunggang motosikal yang tertera nombor plat palsu ‘Mat Rempit’ ditahan polis di Pandan Indah Selasa lalu.

Menurut  Mohd Azam, siasatan mendapati penunggang motorsikal yang ditahan itu tidak mempunyai lesen memandu yang sah serta tiada perlindungan insuran manakala lesen kenderaan motor (LKM) juga didapati telah tamat tempoh.

Berikutan itu, tambah beliau, polis mengeluarkan kompaun terhadap penunggang motosikal tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 atau hukuman penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette