Orang ramai dinasihati agar berhati-hati dengan sindiket menawarkan lesen terbang di media sosial

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menasihati rakyat agar berwaspada dengan sindiket penipuan mendapatkan lesen memandu tidak sah atau dikenali ‘lesen terbang’ menerusi iklan di laman media sosial.

Ketua Pengarahnya, Datuk Rospiagos Taha berkata, pihaknya JPJ telah mengesan akaun media sosial seperti Facebook dan aplikasi  Telegram yang menjanjikan pengeluaran lesen memandu secara murah dan mudah, namun ia tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan serta tidak sah di sisi undang-undang.

“Pemantauan JPJ mendapati bahawa, terdapat beberapa modus operandi yang digunakan oleh sindiket ini menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan iklan dengan menggunakan pelbagai kaedah untuk menjerat mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, antara kaedah pujukan dikesan digunakan sindiket termasuk memaparkan gambar lesen memandu JPJ bagi menarik dan memikat orang ramai mendapatkan lesen tanpa ujian dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat, murah, mudah dan sukar dikesan pihak berkuasa.

Menurut Rospiagos, JPJ telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pemilik akaun media sosial yang menawarkan dan menjalankan operasi sindiket penipuan itu.

Beliau berkata, memiliki lesen tidak sah adalah satu kesalahan
dibawah Seksyen 108 Akta 333 dan memandu kenderaan tanpa lesen yang sah bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga terdedah dengan risiko kemalangan yang membahayakan nyawa sendiri dan orang lain. – MalaysiaGazette