Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee

SHAH ALAM – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan mengadakan sidang tergempar petang ini bagi membincangkan hasrat presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang enggan mempertahankan jawatan pada pemilihan akan datang.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pengumuman dibuat Muhyiddin tanpa berbincang dengan pimpinan parti dan masih belum muktamad memandangkan tokoh itu sangat diperlukan buat masa ini.

“Tan Sri Muhyiddin amat diperlukan untuk terus menerajui parti ini dan kepimpinan parti secara jelas menunjukkan reaksi positif bahawa beliau memang diperlukan pada saat kritikal ini.

“Bagi saya, ini satu kenyatan yang terlalu awal oleh beliau dan reaksi perwakilan jelas tidak dapat menerima keputusan dibuatnya.

“Ini signal jelas beliau merupakan imej dan simbol parti ini dalam membawa hala tuju Bersatu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Ronald perjuangan parti masih belum selesai dan ketokohan Muhyiddin terbukti apabila telah berjaya melahirkan ramai pemimpin berkualiti seperti Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan persepsi segelintir pihak yang kononnya parti itu akan jatuh dengan ketiadaan Ahli Parlimen Pagoh berkenaan.

“Sebenarnya kita boleh sahaja bergerak ke hadapan tanpa beliau (Muhyiddin) tapi dalam konteks perjuangan hari ini, Tan Sri Muhyiddin sangat diperlukan.

“Kita boleh bergerak tapi kita perlukan dia, saya tidak kata tanpa beliau kita jatuh tapi untuk melahirkan lebih ramai pemimpin, ternyata parti memerlukannya,” ujarnya.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahan jawatan Presiden Bersatu dalam pemilihan parti itu yang akan diadakan sebelum hujung tahun depan.

Beliau memaklumkan hasrat itu dalam Perhimpunan Agung Tahuan Bersatu di Shah Alam pagi tadi dengan menyatakan telah tiba masa untuk beliau memberi ruang kepada barisan kepimpinan yang baharu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Muhyiddin tidak pertahan jawatan Presiden Bersatu