Pulau Pinang umum BKK setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri itu.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM1,000 kepada seramai 3,867 orang penjawat di bawah pentadbiran negeri.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika membentangkan Ucapan Bajet 2024 Pulau Pinang di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Kon Yeow berkata, pembayaran keseluruhan berjumlah RM6.04 juta melibatkan 3,867 penjawat awam itu akan dilakukan bulan depan.

Kon Yeow.

“Kecekapan penjawat awam dalam melunaskan amanah dan tanggungjawab yang menyumbang kepada pembangunan negeri dengan tidak berbelah bahagi amat dihargai.

“Oleh itu, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi bantuan khas ini kepada semua penjawat awam negeri,” katanya.

Tambah Kon Yeow, beliau berharap dengan pemberian insentif berkenaan, semua penjawat awam dapat berusaha dengan cekap dan lebih gigih dalam memastikan mutu perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan.

Selain itu, Kon Yeow turut mengumumkan pemberian sebanyak RM300 seorang yang akan disalurkan kepada penyelia dan guru KAFA; Sekolah Rendah Agama Rakyat; Sekolah Menengah Agama Rakyat dan guru serta kakitangan Sekolah Persendirian Cina.

“Pemberian sebanyak RM300 ini turut dipanjangkan kepada guru tahfiz, guru pondok dan guru tadika Islam (Tadis) negeri ini yang akan melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah lebih RM1 juta,” katanya. – MalaysiaGazette