Sebuah rumah kampung di Sabak Bernam dekat sini dijadikan transit migran keluar dan masuk secara haram melalui jalan laut akhirnya digempur pihak berkuasa.

KUALA LUMPUR – Sebuah rumah kampung di Sabak Bernam dekat sini dijadikan transit migran keluar dan masuk secara haram melalui jalan laut akhirnya digempur pihak berkuasa.

Hasil serbuan polis berjaya menahan seramai 29 orang warga Indonesia di rumah transit itu pada Selasa lalu.

Sumber memberitahu, Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran D3 (Atipsom) Bukit Aman membuat serbuan di rumah kampung berkenaan di Jalan Besar Kampung Perenggan, Sungai Ayer Tawar, Sabak Bernam itu.

“Fokus operasi adalah mengenal pasti migran yang memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu melalui jalan laut.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan, pasukan operasi berjaya membuat tangkapan seramai 29 orang migran warganegara Indonesia kerana didapati melanggar pelbagai kesalahan,” kata sumber ketika dihubungi hari ini.

Rumah buruk di kampung yang dijadi penampungan migran asing tidak berdokumen yang diseldup masuk dan keluar ke negara menerusi laluan laut yang digempur pasukan ATIPSOM

Tambah sumber itu lagi, dua lelaki yang berperanan sebagai penjaga rumah  itu turut ditahan manakala 27 lagi yang diberkas dalam operasi yang sama.

Selain itu, pihaknya turut menahan 20 wanita dan tujuh lelaki yang berusia lingkungan antara 22 hingga 42 tahun dalam operasi itu.

Polis akan menjalankan siasatan ke atas kesemua tangkapan itu di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, Seksyen  6(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63.

Sindiket berkenaan dipercayai  telah beroperasi secara aktif dalam kegiatan itu lebih kurang selama dua bulan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah D3, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan tangkapan kesemua migran itu ketika dihubungi hari ini.- MalaysiaGazette