KUALA LUMPUR – Bekas anggota polis Sirul Azhar Umar mengakui dia menerima RM1 juta daripada sumber yang tidak boleh didedahkan supaya ‘tutup mulut’ berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu semasa ditahan di Australia.
Dia mendakwa, seorang peguam terkemuka yang ada kaitan politik dan pemimpin tertinggi Kabinet terlibat dalam pembayaran itu.
Dalam temu bual dengan program 101 Timur Al Jazeera yang disiarkan pagi tadi, bekas anggota polis itu menyatakan dia dijadikan kambing hitam dan ‘digadai’ dalam permainan politik.
Oleh itu, katanya, dia dalam bahaya untuk pulang ke Malaysia.
“Saya mangsa keadaan, saya kambing hitam dan saya bercakap benar. Mereka menggunakan saya sebagai kambing hitam,” katanya dalam wawancara itu.
Malah, dia mendakwa tidak bertanggungjawab atas pembunuhan model Mongolia Altantuya walaupun disabitkan dengan jenayah itu.
“Selama bertahun-tahun, orang di negara saya telah menunggu untuk mengetahui siapa yang memberi arahan untuk membunuh Altantuya, tetapi saya tidak boleh mendedahkannya,” katanya.
Bagaimanapun, arahan untuk membunuh Altantuya dibuat oleh seorang ahli politik terkemuka.
Sirul turut menyatakan keadaan tidak selamat untuk dia pulang ke Malaysia, lantaran itu mahu membina kehidupan bersama anaknya di Australia.
Sirul yang agak emosi dalam wawancara itu turut memohon maaf kepada keluarga Altantuya dan meminta pengampunan daripada keluarga wanita itu.
Dia yang menyifatkan pembebasannya sebagai sesuatu yang menakjubkan, menzahirkan rasa syukur selepas dibebaskan oleh mahkamah Australia baru-baru ini.
“Saya tak jangka (dibebaskan). Saya sayangkan Australia dan meminta masyarakat di sini untuk memberi saya peluang kedua dan menerima kami.
“Saya bukan orang yang jahat,” tambahnya.
Kata Sirul, dia menyertai polis pada usia 19 tahun.
“Dalam polis, ia mengajar saya disiplin yang keras tentang ketaatan kepada pihak atasan, yang bermaksud ya, tuan, ya, tuan, ya, tuan, dan tidak pernah berkata tidak,” ujarnya.
Altantuya telah diculik dan dibunuh di Shah Alam pada Oktober 2006, dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera.
Sirul dan Azilah Hadri, dua pengawal peribadi bekas perdana menteri Najib Razak, disabitkan atas pembunuhan itu pada 2009.
Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan pada 2013 dan memerintahkan pembebasan mereka.
Semasa rayuan pihak pendakwaan, Sirul melarikan diri ke Australia.
Mahkamah Persekutuan kemudian mengekalkan sabitan itu dan mengembalikan hukuman mati.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang didakwa bersama Sirul dan Azilah, dibebaskan pada 31 Okt 2008, selepas mahkamah mendapati tiada bukti konkrit terhadapnya.
Sirul telah ditangkap dan ditahan oleh pihak berkuasa imigresen Australia pada Januari 2015 tetapi tidak dihantar pulang kerana dasar negara itu yang tidak menghantar pulang orang yang menghadapi hukuman mati.
Pada 8 November lalu , Mahkamah Tinggi Australia memutuskan bahawa penahanan imigresen tanpa had adalah menyalahi undang-undang, walaupun kerajaan boleh mengenakan syarat visa yang sesuai untuk melindungi masyarakat tempatan. – MalaysiaGazette