Calon Barisan Nasional, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor selepas menunaikan solat jumaat dan berjumpa dengan penduduk sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Kemaman di IPD Kemaman, Terengganu. Foto FAREEZ FADZIL, 24 NOVEMBER 2023.

KEMAMAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bukan pertarungan mempertahankan status dan maruah sebagai bekas Panglima Angkatan Tenteri (PAT) atau Menteri Besar Terengganu.

Bagi calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Jen. (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, PRK ini adalah bagi pengundi untuk memilih wakil yang boleh melaksanakan apa yang mereka harapkan.

“Itu (pertarungan mempertahankan status dan maruah) andaian mereka, bukan boleh saya betulkan persepsi mereka. Apa yang saya lakukan iaitu untuk pengundi memikirkan siapa dia the best man (wakil terbaik) boleh bawa kehendak mereka. Boleh dan mampu membantu mereka.

“Mereka dahagakan perkara tertentu dan antara dua calon ini siapa boleh melakukan. Itu fokusnya, yang lain itu hanya persepsi. Bagi saya persepsi tak ada jawapan atau penyelesaian sebenar,” tegas Raja Mohamed Affandi.

Pada PRK yang akan berlangsung pada 2 Disember ini Raja Mohamed Affandi berdepan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Katanya, sama seperti Ahmad Samsuri yang mempunyai pengalaman lima tahun memimpin Terengganu, beliau turut mempunyai rekod kepimpinan dalam angkatan tentera yang boleh memberikan banyak tawaran kepada masyarakat.

“Saya menawar diri saya. Rekod saya sebagai bekas PAT yang mana saya juga ada kewajiban besar. Kemaman ini saya lihat akan jadi daerah tumpuan selepas Kuala Terengganu. Kalau BN menang ia akan jadi jambatan menghubungkan Putrajaya. Saya lihat ada keuntungan rakyat di situ. Bila ada itu limpahan pasti turun kepada rakyat.

“Saya tak dapat perincikan nak buat bangunan berkembar, nak buat lapangan terbang atau lain-lain. Orang boleh janji macam-macam. Saya tidak macam itu.

“Saya yakin kerajaan perpaduan yang ada ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan di Kemaman ini. Ada landasan ERCL. Saya tengok pelan induk dan banyak yang boleh kita rancang lagi,” kata beliau sambil menekankan akan memberi lebih tumpuan yang akan memberi manfaat kepada golongan muda.

Raja Mohamed Affandi yang ditemuramah dalam program SkopMG yang boleh ditonton di semua media sosial MalaysiaGazette menegaskan, menang atau kalah dalam PRK nanti bukan satu perkara yang beliau fikirkan.

Bagaimanapun, tempoh pendek berkempen dan bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat mendedahkan beliau terhadap isu-isu yang dihadapi rakyat di depan matanya.

“Saya ceritakan satu peristiwa, saya pergi ke satu rumah di sebuah kawasan Felda. Lelaki ini mempuyai seorang isteri dan lima orang anak dengan empat daripada mereka ada masalah otot dan kecacatan Isteri dia juga macam itu.

“Lepas itu isteri dan dua anak mereka meninggal. Sekarang tinggal dia dan tiga orang anak. Lelaki ini boleh bekerja sebab tak ada orang yang boleh menjaga anaknya.

“Saya kata tak boleh nak bantu sekarang kerana terikat dengan etika pilihan raya. Awak kena percaya pada saya, kalah atau menang saya akan datang cari awak kerana itu tanggungjawab dan fardu kifayah saya. Saya akan datang. Itu yang saya pegang. Apa erti menang kalah? Nilai dari situ,” kata Raja Mohamed Affandi. – MalaysiaGazette