KUALA LUMPUR – Penganjuran Festival Murtadha Dakwah Centre (Madad) atau Festival Madad 2023 yang menawarkan lebih 100 jenis makanan popular kepada pengunjung bertujuan bagi menghidupkan atau mengimarahkan Masjid Madad yang menjadi antara matlamat utama.
Pengarah Urusan Madad, Mohammad Yaakub Yusra berkata, festival yang berlangsung bermula 16 November lalu di sekitar kawasan masjid itu bukan sekadar menjemput orang merasai pelbagai jenis makanan berkenaan, sebaliknya memperkenalkan masjid sebagai pusat komuniti setempat.
Menurutnya, pelbagai kemudahan lain juga disediakan selain fungsi sebagai rumah ibadat yang mana Madad telah mewujudkan ekosistem melalui penganjuran sukan memanah, berkuda, hotel kapsul, maahad tahfiz, pembinaan rumah kucing dan rumah kahwin serta lain-lain sekali gus menarik perhatian lebih ramai pengunjung memanfaatkan fasiliti tersebut.
“Antara makanan yang menjadi tumpuan termasuk arnab bakar kangkang, kambing buluh, jagung keju, bubur lambuk dan keropok lekor.
“Selain itu, peniaga Thailand menawarkan roti pisang, kerabu kaki ayam, tomyam, ayam susu, roti tisu coklat, mee celup, pulut mangga dan pelbagai jenis pemanis mulut termasuk minuman dari negara jiran itu,” katanya.
Sepanjang 10 hari Festival Madad berlangsung, Thai-Malay Food Festival itu menawarkan pelbagai makanan kepada pengunjung seawal pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam.
Sejumlah 30 vendor makanan menyediakan pelbagai hidangan Thai sebagai tarikan yang unik buat pengunjung yang hadir ke Festival Madad.
Mengulas lanjut, Mohammad Yaakub menambah, sambutan diterima cukup memberangsangkan sehingga kini mencecah 70,000 pengunjung selain menyasarkan lebih 120,000 sehingga hari terakhir hari iji.
“Saya juga percaya kehadiran ramai bukan semata-mata nak makan tetapi turut mengikuti pengisian ilmiah yang menampilkan tokoh agama dan personaliti tersohor.
“Kita bawakan penceramah bebas, Sheikh Zainul Asri, Ustaz Ariffin Ayob, Mohd Fadhly Hasbullah (Ustaz Manis), Cik Wan Hilmy Wan Mohamed (Maulana Helmi), Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari, Pempengaruh, Cikgu Fadli Salleh, Motivator dan pendakwah bebas, Ustazah Huda Edayu serta ramai lagi yang memeriahkan pelbagai slot setiap hari,” katanya.
Selain reka bentuk dalaman yang minimal, ruang tandas dan bilik mandi masjid ini juga ibarat kita berada di hotel mewah. – MalaysiaGazette