Gambar hiasan

Oleh: Dr. Siti Aisyah Samudin

PERKEMBANGAN pesat teknologi pada hari ini memberi dampak besar dalam aspek kesalahan jenayah syariah, khususnya kesalahan-kesalahan melibatkan alam siber. Sebagai contoh, kesalahan mengajar agama tanpa tauliah telah menunjukkan peningkatan sejajarnya bertambahnya bilangan pempengaruh media sosial dengan meluas. Menyedari hal ini, satu langkah proaktif perlu diambil bagi memastikan perundangan jenayah syariah relevan untuk dikuatkuasakan seiring dengan perkembangan semasa.

Isu timbul apabila mengajar agama tanpa tauliah kini terjadi di dalam pelbagai bentuk termasuk di platform media sosial, kepesatan teknologi menjadikan sesiapa sahaja boleh mengajar agama di media sosial. Namun begitu, persoalan mengenai cabaran kesalahan jenayah syariah di alam siber ini didakwa harus dikenalpasti sebelum pendakwa syarie membawa kes ini ke peringkat pendakwaan.

Terdapat beberapa cabaran bagi melaksanakan kesalahan jenayah syariah di alam siber. Antaranya ialah mengenai keterbatasan bidang kuasa tempatan iaitu bagi menentukan di mana perbuatan mengajar agama tanpa tauliah tersebut berlaku dan perlu didakwa. Hal ini kerana penggunaan peranti eletronik dengan capaian internet membolehkan Orang Yang Disyaki (OYDS) melalakukan jenayah tersebut di mana-mana sekalipun. Penentuan lokasi kejadian amat sukar untuk dipastikan kerana selepas kandungan ceramah tersebut dimuat naik di sesebuah tempat, OYDS berkemungkinan meninggalkan tempat tersebut dan menuju ke tempat yang lain.

Seterusnya, keterbatasan kuasa pegawai penguatkuasa agama (PPA) yang hanya boleh menguatkuasakan waran di negeri tempat pelantikannya dibuat sahaja, malahan mereka tidak boleh memaksa saksi-saksi yang berada di negeri lain untuk tujuan disoal siasat. Bidangkuasa yang terbatas inilah menjadikan cabaran penguatkuasaan jenayah syariah di Malaysia. Sebagai contoh, jika terdapat seorang saksi penting bagi satu kes jenayah yang tinggal di luar negeri jenayah itu berlaku atau dibicarakan, maka menurut undang-undang secara literal, saksi itu tidak boleh dipaksa untuk untuk hadir di hadapan pegawai penguatkuasa agama bagi tujuan penyiasatan. Penyiasatan sebaliknya akan lebih berkesan sekiranya pegawai penguat kuasa agama mempunyai bidang kuasa yang lebih luas di sisi undang-undang.

Cabaran dari sudut pembuktian pula, jenayah syariah mengajar agama tanpa tauliah ini sukar dibuktikan kerana berkemungkinan di padam, menggunakan akaun palsu, penentuan pemilik sebenar akaun tersebut dan sebagainya. Manakala dari sudut pembuktian pula mengajar agama tanpa tauliah mempunyai cabaran dari sudut memenuhi elemen pembuktian kerana perlu disertai dengan menggunakan beberapa pendekatan lain seperti menggunakan pendapat pakar. Dalam penguatkuasaan mengajar agama tanpa tauliah di alam siber, kepakaran golongan yang mahir dalam bidang teknologi dan ICT (information and communications technology) sangat penting bagi
membantu pihak penguatkuasa agama dalam proses penyiasatan. Malahan bahan bukti kesalahan juga terkait dengan bukti-bukti digital yang sukar diperolehi bagi mendakwa kesalahan.

Bagi tujuan mendakwa OYDS terhadap kesalahan jenayah syariah yang dilakukan, bukti yang kukuh perlu dikumpul di peringkat siasatan. Hal ini kerana, seseorang tertuduh tetap dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya dalam proses pendakwaan jenayah syariah. Menurut prinsip ini juga, pendakwa syarie dan OYDS berhak untuk menyangkal dan menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan. Justeru itu, pengumpulan bahan bukti merupakan prosedur penting dalam tindakan penguatkuasaan.

Pengumpulan bahan bukti bagi kesalahan mengajar agama tanpa tauliah ini melibatkan bukti-bukti elektronik yang berkemungkinan dipadam. Kebanyakan jenayah syariah yang berlaku di media sosial melibatkan barang-barang sitaan seperti telefon bimbit, komputer riba, pemacu pena (pendrive), cakera keras (hard disk) dan pelbagai alat elektronik lain. Perkara ini menimbulkan kesukaran kepada pihak penguatkuasa agama dalam mengumpulkan bahan bukti bagi melengkapkan fail siasatan.

Penguatkuasaan jenayah syariah memerlukan kepada pembaharuan yang lebih menyeluruh. Perkembangan teknologi kini menjadikan undang-undang yang digubal pada tahun 1997 sudah tidak lagi relevan untuk dikuatkuasakan dan memerlukan kepada pindaan. Penguatkuasaan jenayah syariah yang sering menjadi isu kebebasan peribadi dalam kalangan masyarakat pula lebih mengukuhkan lagi agar SOP bahagian penguatkuasaan ini dikaji semula. Kesalahan mengajar agama tanpa tauliah di alam siber merupakan antara kesalahan yang meninggalkan impak yang besar kepada masyarakat. Bahkan kesalahan lain juga berpotensi untuk dilakukan di alam siber seperti kesalahan menghina atau mempersendakan agama Islam, menyebarkan ajaran dan doktrin salah, perbuatan tidak sopan, berjudi juga berpotensi dilakukan di alam siber. Justeru, melihat kepada trend perkembangan jenayah syariah masa kini menjadikan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 perlu dikaji semula peruntukannya.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya