KOTA KINABALU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan anggota parti itu supaya tidak mempercayai dakwaan kononnya UMNO Sabah berpecah dan membentuk beberapa kumpulan akibat masalah dalaman parti itu.
Beliau berkata, UMNO Sabah sememangnya terbahagi kepada beberapa kumpulan pemikir namun ia dilakukan bagi merangka pelan strategi lebih berkesan bagi memenangi hati rakyat, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Sehubungan itu beliau mengingatkan ahli parti agar tidak terpengaruh dengan dakwaan tersebut yang dimainkan pihak tidak bertanggungjawab sebagai satu perang psikologi dan propaganda untuk memecah-belahkan kesatuan dalam parti itu.
“Kita bukan berpecah dari segi kepimpinan tetapi dipecahkan kepada beberapa kumpulan pemikir. Kita perlu kumpulan pemikir menggariskan pelan strategi dan hala tuju untuk parti sebagai persiapan menuju PRN akan datang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata demikian bagi mengulas spekulasi yang tular di media sosial berhubung perpecahan UMNO Sabah, susulan pertemuan beberapa pemimpinnya termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru-baru ini.
Bung Moktar berkata, sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat di kawasan masing-masing, pemimpin berkenaan berhak mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, antara lain bagi menyampaikan isu dihadapi kawasan tersebut.
“Jika Ketua Menteri menghormati Kerajaan Perpaduan, beliau perlu memberi ruang untuk bertemu dan mendengar keluh-kesah rakyat terutamanya ADUN dari UMNO,” katanya. – BERNAMA