Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM datuk Seri Anil Jeet Singh bercakap kepada media mengenai Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Piala Dunia Remaja Lelaki ketika di Stadium Hoki Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 27 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 negara sudah mengesahkan penyertaan untuk bersaing dalam Kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja 2023 yang akan membuka tirai di Stadium  Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, 5 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Kesatuan Hoki Malaysia (KSH), Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata, Malaysia akan membuka akses percuma kepada penonton untuk datang beramai-ramai menzahirkan sokongan kepada pasukan tuan rumah.

Katanya, antara pasukan yang bakal menyertai kejohanan dunia itu adalah Pakistan, Afrika Selatan, New Zealand, India dan Australia.

“Ketika ini negara Chile yang sudah mengesahkan penyertaan dari awal lagi sudah tiba ke sini pada Sabtu lepas dan sudah memulakan latihan mereka sejak semalam.

“Pasukan Australia dijangka tiba pada 28 November ini disusuli Belgium, Argentina dan Belanda dijangka mendarat di KLIA pada 29 November ini untuk menyertai kejohanan ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM datuk Seri Anil Jeet Singh bercakap kepada media mengenai Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Piala Dunia Remaja Lelaki ketika di Stadium Hoki Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 27 NOVEMBER 2023.

Tambah beliau, pasukan hoki remaja lelaki dari Perancis dan New Zealand dijangka tiba pada 30 November ini.

Katanya, skuad hoki remaja kebangsaan akan memulakan sesi latihan di padang kedua bermula esok.

“Sementara itu, walaupun Pakistan dan Afrika Selatan sudah mengesahkan penyertaan mereka awal lagi, tetapi masih belum menerima sebarang butiran lanjut daripada mereka mengenai tentatif program ketibaan mereka sehingga kini.

“Namun, saya rasa mereka tidak akan menarik diri sebab mereka antara pasukan terawal mengesahkan penyertaannya dalam kejohanan ini dan Mesir juga antara pasukan yang sudah mengesahkan penyertaan mereka,” katanya.

Sementara itu, senarai penuh skuad kebangsaan akan diumumkan esok. – MalaysiaGazette