Institut Tahfiz dan Kefahaman Quran, Ma’hadul Azhar di Kepala Batas, Pulau Pinang terbakar hari ini.

KEPALA BATAS – Institut Tahfiz dan Kefahaman Quran persendirian, Ma’hadul Azhar di Jalan Pokok Sena, Kampung Banggul di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Tiada kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan susulan ketika kejadian tiada mangsa di pusat tahfiz dua tingkat itu berikutan seorang tenaga pengajar serta empat pelajar berada di bangunan sebelah.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Affendi Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.52 pagi.

Jelas beliau, anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas bergegas ke lokasi dengan BBP Tasek Gelugor serta dibantu BBP Bertam.

Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja memadam api di lokasi kejadian.

“Sebaik tiba kita dapati kebakaran melibatkan sebuah pusat tahfiz dua tingkat dengan anggaran keluasan 100 x 80 kaki persegi.

“Kebakaran berlaku di tingkat dua dengan anggaran peratusan kemusnahan sebanyak 40 peratus. Semasa kebakaran, tiada penghuni di bangunan tersebut.

“Semakan mendapati tingkat bawah merupakan rumah manakala tingkat atas yang terbakar itu dijadikan asrama pelajar,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, kebakaran dikawal pada jam 12.21 tengah hari dan kerja-kerja pengawalan serta pemadaman kebakaran masih dijalankan.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast