GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) tidak pernah memberikan tanah kepada pihak swasta untuk dibangunkan sebagai taman perindustrian.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan bank tanah perindustrian PDC terletak di lokasi yang strategik dan dapat dipasarkan kepada pelabur-pelabur kategori promoted industries.

Jelas beliau, bagaimanapun, kini PDC menghadapi kekangan untuk membangunkan kawasan perindustrian baharu yang dikenali sebagai Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP2) kerana faktor lokasi dan persekitaran yang tidak konduksif.

“Oleh itu, PDC berhasrat untuk berkolaborasi dengan syarikat swasta untuk membangunkan sebahagian daripada daripada BKIP2 supaya mengurangkan risiko dan kos pihak PDC.

“Sehingga kini PDC telah membangunkan sembilan taman perindustrian di negeri ini bagi memastikan ekosistem sektor perindustrian yang mampan mampu dicapai.

“Bagi merealisasikan matlamat ini, PDC akan terus memainkan peranannya sebagai peneraju pembangunan utama kawasan perindustrian di Pulau Pinang walaupun kini terdapat beberapa pemaju swasta yang turut terlibat dalam bidang ini,” katanya.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lim Guan Eng (DAP- Air Putih) berhubung tanah-tanah PDC yang diberikan kepada pihak swasta untuk dibangunkan semula sebagai tanah perindustrian untuk menarik pelaburan.

Tambah Kon Yeow, berbekalkan pengalaman dan kemahiran lebih 50 tahun, pihaknya yakin kawasan perindustrian yang dibangunkan PDC akan terus menjadi tumpuan pelabur asing dan tempatan. – MalaysiaGazette