Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seramai 533 pasangan bawah umur di Kelantan direkodkan berkahwin dalam tempoh empat tahun sejak 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Mohd Asri Mat Daud berkata, Kerajaan Kelantan mengekalkan tanpa pindaan had umur perkahwinan bagi pasangan berusia 18 tahun bagi lelaki, manakala usia 16 tahun bagi perempuan.

“Setakat ini hanya 13 permohonan ditolak sepanjang tempoh berkenaan disebabkan beberapa faktor dan pendekatan perkahwinan bawah umur adalah wajar, sebagaimana peruntukan Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002.

“Ia selaras dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak, mengambil kira kemaslahatan pasangan bawah umur yang akan berkahwin iaitu minima perkahwinan iaitu 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan dikekalkan tanpa pindaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Zubir Abu Bakar (PAS-Mengkebang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mohd Asri bagaimanapun berkata, kemaslahatan perkahwinan pasangan bawah umur hendaklah dinilai melalui penelitian menyeluruh, daripada aspek kerelaan pasangan dan kesediaan mendirikan rumah tangga seperti kemampuan, emosi, fizikal, mental, seksual, sosial, spiritual, kesihatan, pendidikan, sekufu dan sebagainya.

Beliau berkata soal kemampuan juga diambil kira berkait rapat dengan kekuatan sokongan dan persediaan awal oleh ibu bapa, kematangan dalam membuat keputusan dan keupayaan mereka melaksanakan peranan sebagai ibu bapa.

“Mesyuarat Hakim-hakim Syarie telah membuat keputusan untuk menimbang suatu tatacara prosedur operasi standard (SOP) yang minima (bersifat lebih memudahkan), oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan, khususnya di Kelantan dengan mengambil kira lokaliti Kelantan bersempadanan dengan Thailand, yang memudahkan nikah di Thailand bagi mengelak berlakunya nikah tanpa kebenaran iaitu wali akad sendiri.

“Sehingga hari ini, semua permohonan kebenaran berkahwin bawah umur, hendaklah mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu,” katanya.

Mohd Asri berkata di Kelantan, perkara tersebut termaktub dalam Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan Tahun 2002, iaitu ‘Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini, jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun, kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam keadaan tertentu’.

Beliau berkata sebelum akad nikah tersebut dijalankan, permohonan perlu diangkat kepada Mahkamah Syariah terlebih dahulu, di mana hanya hakim syarie yang mempunyai autoriti untuk meluluskan sama ada permohonan tersebut diterima atau ditolak.

“Hakim Syarie membuat keputusan melalui sesi perbicaraan dalam kamar secara tertutup melibatkan keterangan pemohon bawah umur, ibu bapa pemohon, saksi dan imam setempat atau Penolong Pendaftar Nikah Cerai Rujuk,” katanya. – BERNAMA