Surat yang ditulis Daniyal dan tular di media sosial

TEL AVIV – “Akan aku ingati layanan baik yang diterima di sini, walau kalian saat ini sedang menghadapi keadaan yang sukar dan kemusnahan yang menimpa kalian di Gaza.”

Ayat tersebut diucapkan oleh seorang tebusan Israel, Danyal dalam sepucuk surat tulisan tangan yang diberikan kepada kumpulan yang menculiknya, Hamas.

Dalam surat yang ditulis menggunakan bahasa Hebrew yang kemudiannya tular di media sosial, Danyal menceritakan bagaimana anak kecilnya Emelia menerima gula-gula dan buah-buahan daripada pejuang Hamas.

Wanita itu merasakan bahawa anaknya telah dilayan dengan penuh sabar malah ada ketikanya seperti seorang ratu sepanjang ditahan sejak 7 Oktober lalu.

“Ku ucapkan terima kasih sangat-sangat atas masa-masa kalian buatnya sebagai pengasuh. Terima kasih di atas kesabaran kalian dalam melayaninya, kalian menghiburkannya dengan gula-gula, buah-buahan dan segala apa yang kalian ada walaupun sebenarnya tidak dibenarkan.

“Kanak-kanak tidak sepatutnya dijadikan tawanan, namun dengan berkat kurniaan mengenali orang-orang yang mulia seperti kalian dan mereka yang kami jumpa sepanjang perjalanan kami di sini, anakku telah menganggap dirinya sebagai ratu di Gaza. Sehinggakan dia merasakan bahawa dia menjadi pusat tumpuan alam!” katanya.

Mungkin bagi sebahagian besar rakyat Israel, Hamas merupakan kumpulan pengganas namun selepas lebih 40 hari ‘diculik’ oleh Hamas, persepsi Danyal terhadap pejuang Palestin itu berubah selepas menyaksikan bagaimana beliau dan anaknya dilayan dengan baik.

Wanita itu amat terharu apabila Emilia dilayan seperti seorang sahabat sehingga anak kecil itu menganggap pejuang Hamas sebagai seorang ayah.

“Kepada para general yang telah menemani kami sepanjang beberapa minggu yang lepas, sepertinya kita akan berpisah pada esok hari.

“Ingin aku sampaikan ucapan terima kasih dari dalam hatiku kepada kalian di atas layanan istimewa dan luar biasa kalian terhadap anakku Emelia.

“Kalian baginya seperti para ayah. Kalian mengajaknya ke bilik kalian setiap kali dia mahu untuk ke sana. Emelia anggap kalian seperti kawan bahkan bukan sekadar kawan biasa, Dia menganggap kalian sebagai kekasih dan teman sejati,” katanya.

Tambah wanita itu lagi, sepanjangn hidupnya dia akan bersyukur kepada Hamas kerana sepanjang ditahan tidak diseksa yang boleh mengakibatkan mereka akan mengalami tekanan mental selepas dibebaskan.

Danyal juga seolah-olah sedih dengan perpisahan yang berlaku selepas dibebaskan dan berharap mereka boleh menjadi sahabat.

“Ahh , kalaulah di dunia ini kita benar-benar ditakdirkan dapat menjadi sahabat baik . Semoga kalian diberi kesihatan dan kesejahteraan. Terima kasih banyak-banyak!” ucapnya.

Dalam perjanjian bagi membolehkan gencatan senjata sementara berlaku di Gaza Hamas berjanji membebaskan 50 tebusan Israel manakala kerajaan Zionis itu pula bersetuju membebaskan 150 warga Palestin yang terdiri daripada kanak-kanak dan wanita.-Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.