ling tian soon
Ling Tian Soon

KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan supaya menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani isu kira-kira 29,000 graduan yang masih belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian.

Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon berkata, langkah itu pernah dilakukan kerajaan terdahulu melalui Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Menurut beliau, jawatankuasa tersebut boleh mengadakan rundingan dengan majikan untuk mengetahui permintaan dan kehendak pasaran dan seterusnya mengambil langkah untuk memastikan bahawa kursus-kursus yang ditawarkan institusi pendidikan tinggi dapat memenuhi permintaan tersebut.

“Susulan itu, kerajaan boleh mengambil langkah untuk menyediakan kursus peningkatan kemahiran atau pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada graduan bagi menambahkan kemahiran mereka sekali gus meningkatkan daya saing mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, angka itu diperolehi daripada data rasmi sistem kajian pengesanan graduan yang dikeluarkan kementeriannya.

Tian Soon memberitahu, sebelum ini, Pemuda Barisan Nasional (BN) pernah mengambil insiatif untuk menganjurkan karnival kerjaya BN Youth Job Fair 2022 yang dihadiri kira-kira 32,000 pengunjung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng itu menambah, melalui karnival tersebut, sebanyak 6,000 kekosongan jawatan ditawarkan oleh lebih 300 majikan.

“Sekiranya sebuah karnival kerjaya yang dianjurkan parti politik boleh dapat mencapai kejayaan yang sebesar ini, kami yakin bahawa sebuah acara sama yang dianjurkan dengan sumber kerajaan pasti dapat meninggalkan kesan yang lebih besar,” jelasnya.

Tian Soon turut mencadangkan kepada kerajaan untuk menawarkan inisiatif skim pinjaman dan mikrokredit untuk menggalakkan lebih ramai graduan menjadi usahawan.

Menurut beliau, memandangkan negara sedang menghadapi masalah krisis keterjaminan makanan, kerajaan boleh menggalakkan lebih ramai belia untuk menceburi bidang pertanian.

“Insentif untuk kegunaan automasi dan teknologi tinggi seperti internet semua benda (IoT) juga boleh ditawarkan untuk menjadikan pertanian moden lebih menarik kepada graduan,” katanya. – MalaysiaGazette