Dr Dahlia ( dua dari kanan) bersama pelajarnya, Dr Mohd Hafiz, Dr Azizah dan Dr Revathi selepas menerima Ijazah Doktor Falsafah masing-masing daripada Canselor, Tuanku Zarah Salim di Dewan Tuanku Canselor. (Gambar ihsan UPSI)

TANJUNG MALIM – Pensyarah kanan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Dahlia Janan berjaya menyelia tiga pelajar Doktor Falsafah sehingga mereka menamatkan pengajian dalam tempoh 36 bulan.

Dr Dahlia berkata, tiga pelajarnya yang mendapat tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu gigih untuk menamatkan pengajian secara GOT (Grade on Time) dan mereka menjalankan kajian menggunakan metodologi Kajian Reka Bentuk dan Pembangunan.

Menurutnya, para graduan di bawah seliannya itu bukan sahaja tamat pengajian, tetapi berupaya menghasilkan inovasi yang didaftarkan sebagai harta intelek serta memenangi anugerah inovasi dalam pelbagai pertandingan, malah kini dalam proses menerbitkannya dalam bentuk modul dan model untuk dikomersialkan.

“Saya bersyukur kerana mencatat sejarah peribadi dengan kejayaan dalam penyeliaan pelajar pascasiswazah sehingga bergraduat serentak dan menerima ijazah daripada Canselor, Tuanku Zarah Salim sempena majlis Istiadat Konvokesyen UPSI ke-25 pada sesi pertama.

“Saya komited untuk menyerlahkan semua pelajar Doktor Falsafah bukan sahaja sekadar menamatkan pengajian tetapi menghasilkan inovasi yang dapat dimanfaatkan oleh pelbagai pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketiga-tiga graduan yang menerima ijazah ialah Dr Mohd. Hafiz Mohamad Tarmizi, 37; Dr Azizah Arshad, 48, dan Dr Revathi Raja Gopal, 49.

Mereka menamatkan pengajian di bawah program Ijazah Kedoktoran Bahasa Melayu di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK).

Menurut Dr Dahlia, kumpulan pelajar yang dinamakan SERAI itu mengorak langkah menjadi pakar rujuk dalam bidang Kajian Reka Bentuk dan Pembangunan di Universitas Palembang, Indonesia baru-baru ini, sekali gus mengharumkan nama UPSI. – MalaysiaGazette