Persidangan dewan Rakyat. Foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Beberapa ahli Parlimen tidak puas hati dan kecewa selepas fasal Generasi Penamat Rokok (GEG) digugurkan daripada Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Rakyat kali ini.

Antara yang lantang membidas dan melahirkan rasa kesal adalah Ahli Parlimen Segamat Yuneswaran Ramaraj.

Beliau mendesak Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa agar membawa semula RUU GEG itu untuk dibentang di Parlimen pada sesi persidangan akan datang tanpa rasa gentar.

“Saya harap menteri mendedahkan nama-nama pelobi itu di dalam dewan ini dan saya minta pertimbangkan dan bawa semula fasal GEG untuk dibentangkan pada persidangan akan datang tanpa rasa gentar dan takut,” katanya semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa yang sama, beliau juga menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai membunuh rakyat dengan rokok secara berperlembagaan.

Beliau turut mempersoalkan apakah kerajaan hendak tunduk kepada pelobi-pelobi rokok di luar dan membiarkan hampir 27,000 rakyat mati setiap tahun.

“Saya dimaklumkan cukai daripada rokok untuk setahun dalam lingkungan RM2.3 bilion dan wang yang kita belanjakan untuk pesakit kronik di hospital pula hampir RM8 bilion.

“Jadi, dimanakah justifikasinya sehingga ada yang masih mahu menyelamatkan rokok tapi bukan nyawa manusia ini,” bahasnya.

Beliau percaya Menteri Kesihatan juga mungkin menerima tekanan daripada perokok tegar yang mahu ‘menyelamatkan’ syarikat-syarikat tembakau dan sanggup melihat nyawa rakyat itu mati.

“Saya harap pelobi-pelobi yang sedang menonton bahas kami di luar sana, anda bertanggungjawab kepada nyawa-nyawa yang mati disebabkan rokok yang sepatutnya kita boleh selamatkan melalui GEG ini,” tegasnya.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim pula berkata, tindakan mengugurkan RUU berkaitan akta larangan tembakau dan vape berdasarkan umur ini seolah-olah memberi bayangan kerajaan sudah mengalah kepada industri tembakau gergasi di negara ini.

Katanya, menteri sendiri dalam mukadimah menyatakan ramai mati sakit akibat rokok dan kerajaan berbelanja berbilion untuk merawat.

“Jadi kita sebagai ahli politik dan ahli Parlimen mahu selamatkan generasi akan datang dari rokok. kalaupun ada orang yang tidak setuju, tidak mengapa, kita bawa dalam Parlimen.

“Dalam laporan media, Peguam Negara memberi alasan ada masalah percanggahan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan punca RUU GEG ini tergugat.

“Saya tidak nafikan Peguam Negara adalah penasihat kepada kerajaan, tapi yang buat undang-undang bukan beliau tapi kita sebagai ahli Parlimen. Bukan para peguam yang mana kita terdiri daripada ustaz serta berlatar belakang ahli perbankan dan juga akauntan untuk bahas perkara di dalam dewan ini,” katanya.

Tegas beliau, pihak yang boleh menafsirkan Perlembagaan bukan Peguam Negara atau ahli Parlimen tapi hakim hakim di mahkamah.

“Kalau kita buat salah, kita buat undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan negara pihak lain boleh membawa ke mahkamah dan menyatakan bahawa undang-undang yang kita buat di Parlimen ini ‘ultra virus’ iaitu bercanggah dengan Parlimen.

“Maka di sini mahkamah yang tentukan keputusan, bukan Peguam Negara jadi gate keeper (penentu). Kalau begitu biar Peguam Negara dan Kabinet yang buat undang- undang.

“Hasrat negara demokrasi akan beri peluang kepada 222 ahli Parlimen yang bijak membahas dan sudah pasti ada yang menentang, sekiranya GEG itu kalah atau ditolak tidak mengapa kerana ini demokrasi.

“Tetapi ini (GEG) belum ada bincang kita sudah tarik diri, ini kita kalah dengan pelobi dari industri tembakau yang besar dan saya sangat sedih,” tegasnya lagi.

Turut kecewa adalah Ahli Parlimen Langkawi sambil menyokong pendirian Pasir Gudang sambil berkata fasal GEG dikeluarkan dari RUU untuk dibentang berkemungkinan disebabkan tekanan daripada syarikat-syarikat tembakau.

“Saya juga menyiapkan ucapan saya ini dengan merasakan GEG dimasukkan dalam undang-undang ini untuk dibentang tetapi malangnya ia dikeluarkan.

“Betul saya setuju, 222 orang kita ini nak bahaskan apa lagi kalau GEG dikeluarkan? Saya rasa ini tekanan syarikat-syarikat tembakau,” keluhnya lagi.-MalaysiaGazette