MELAKA – Jenazah Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semabok, di sini, pada jam 11.30 pagi ini.
Kira-kira 800 termasuk anak-anak, ahli keluarga, atlet lumba basikal dan masyarakat setempat hadir mengiringi jenazah dari rumah ke tanah perkuburan.
Terdahulu, jenazah Abu Samah disempurnakan di rumahnya di Jalan Semabok sebelum dibawa dan disolatkan di Masjid Al Abrar Semabok.
Semalam, media melaporkan Abu Samah, 82, meninggal dunia pada pukul 7 malam di Hospital Mahkota Melaka, selepas setahun mengidap kanser prostat tahap empat.
Kesihatannnya semakin merosot sejak dua minggu lalu sebelum dimasukkan ke hospital Ahad lalu kerana tiada selera makan.
Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Halimah Ali, 82, tujuh anak, cucu dan cicit.
Abu Samah memegang jawatan sebagai presiden PKBM sejak 26 Februari 1990 dan turut memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).
Beliau melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengekalkan jawatannya di PKBM bagi penggal 2023 hingga 2026, sekali gus menerajui badan induk sukan berbasikal negara bagi penggal kesembilan berturut-turut. – MalaysiaGazette