Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merangka Rang Undang-Undang (RUU) Pesara dan Bekas Pegawai Polis dalam usaha membela nasib bekas anggota pasukan keselamatan itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia dijangka dibentang di Parlimen pada tahun hadapan.

“Akta itu akan menjadi punca kuasa untuk KDN mengawal selia para pesara dan bekas pegawai polis serta menjadikan pengurusan persatuan bekas pesara itu lebih sistematik dan teratur di bawah kementerian bagi memudahkan penyaluran serta pengagihan apa jua bantuan kebajikan serta kewangan.

“Justeru, RUU yang sedang dirangka ini juga bertujuan untuk memastikan kebajikan pesara dan bekas pegawai polis lebih terjamin di masa hadapan di bawah kerajaan semasa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jempol (BN), Datuk Shamsulkahar Mohd Deli yang meminta kerajaan menjelaskan sama ada mempunyai perancangan untuk mewujudkan sebuah akta berkaitan bagi menjaga kebajikan khusus pesara dan bekas pegawai polis.

Menurut Shamsul Anuar, adalah menjadi kewajiban kerajaan dan KDN memastikan kebajikan pesara dan bekas pegawai polis sentiasa dijamin menerusi persatuan-persatuan yang mewakili mereka.

Tambah beliau, kebajikan pesara dan bekas pegawai Polis adalah perlu demi menjamin penyaluran peruntukan Kerajaan kepada persatuan-persatuan, dapat diselaraskan dengan lebih teratur dan berkesan berbanding hari ini.

“Ia juga sangat penting bagi memastikan pesara polis mendapat manfaat, dan kita harap rancangan ini boleh dilaksanakan dengan sempurna, sebagaimana dibuat ATM ditadbir Jabatan Veteran Tentera Malaysia.

“Sebagai makluman, RUU sedang dirangka ini masih di peringkat penelitian oleh Pegawai Undang Undang di KDN.

“Kita jangka pada suku tahun hadapan kita akan adakan satu sesi libat urus dan dibawa ke Jemaah Menteri, dan kita cadang ia dapat dibentangkan pada tahun depan,” ujarnya.

Sebelum itu, Ahli Parlimen, Jeli Zahar Kechik dalam soalan Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan meminta KDN menyatakan langkah proaktif yang diambil untuk mnjamin kebajikan pesara polis di seluruh negara sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka kepada negara.

Shamsul Anuar berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat soal kebajikan pesara dan bekas pegawai polis dengan menghargai pengorban yang dicurahkan mereka dalam menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Katanya, antara bantuan yang disalurkan kerajaan kepada pesara polis, bekas polis dan waris adalah melibatkan beberapa bahagian termasuk khairat kematian, pergerakan, perubatan, pendidikan, dan bencana alam.

“Semasa pembentangan Bajet 2024, Perdana Menteri (merangkap Menteri Kewangan) telah mengumumkan Bayaran Insentif RM1,000 dipanjangkan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen yang mana bayaran ini akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024.

“Selain itu, dalam tahun 2023, Bantuan Khas Kewangan Tahun 2023 yang diterima oleh Pesara Kerajaan termasuk Pesara Polis yang menerima pencen dan tidak berpencen sebanyak RM350 pada 17 Januari 2023, dan Bantuan Khas Penghargaan Pesara Kerajaan sebanyak RM200 yang telah diterima pada 10 Ogos 2023,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast