Lim Lip Eng

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini hari, ini membenarkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menangguhkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM2 juta kepada syarikat e-dagang, MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya, Jessy Lai kerana perbuatan fitnah.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Wong Kian Kheong juga dimaklumkan kedua-dua pihak telah bersetuju bagi penangguhan tersebut sementara rayuan Lip Eng selesai.

Peguam mewakili Lip Eng, Datuk S.N. Nair mengesahkan keputusan tersebut selepas prosiding dalam talian hari ini.

“Lip Eng telah diperintahkan untuk mendepositkan jumlah penghakiman RM2 juta ke dalam akaun klien di atas nama peguam cara responden-responden iaitu Tetuan A.J. Ariffin, Yeo & Harpal sebagai pemegang taruh.

“Wang itu juga akan diletakkan di dalam satu akaun simpanan tetap sehingga selesai kes,” katanya kepada media, hari ini.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi KL telah memerintahkan Lip Eng untuk membayar RM2 juta selepas didapati memfitnah syarikat MonSpace dan Jessy Lai enam tahun lepas.

Hakim Datuk Akhtar Tahir juga telah memerintahkan pemimpin DAP itu untuk memohon maaf kerana didapati bersalah mencemarkan nama baik syarikat dan pengasasnya dan perkara itu juga telah diakui olehnya.

Lip Eng kemudian tampil memohon kepada orang ramai supaya dapat membantunya membayar ganti rugi itu dan dalam beberapa hari sahaja wang itu berjaya dikutip sekitar RM2.5 juta.

Dalam satu posting di Facebook hari ini, Lip Eng turut memberi jaminan kepada yang menderma dan menyokongnya bahawa setiap nilai derma itu akan ada akauntabiliti.

Jessy dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lip Eng pada Jun 2019 kerana mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan memfitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahass Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur dari negara China.

Dakwa mereka, Lip Eng membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Jessy dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk mengambil tindakan terhadapnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast