KUALA LUMPUR – Ujian Amali Sains bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2023 akan dilaksanakan pada 5 hingga 7 Disember ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan, ia melibatkan mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan.
Katanya, seramai 91,908 orang calon telah mendaftar bagi mata pelajaran Fizik, 93,135 orang calon bagi mata pelajaran Kimia, 72,841 orang calon bagi mata pelajaran Biologi dan 1,784 orang calon bagi mata pelajaran Sains Tambahan.
“KPM ingin mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.
“Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2023,” katanya.
Dalam pada itu KPM berkata, pihaknya cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM berlangsung.
Katanya, KPM sentiasa siapsiaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
Tambahnya, semua calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.
“KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2023 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
“KPM juga mendoakan agar semua calon dapat
menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette