Pejabat Kementerian Dalam Negeri

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 703 jam digital yang mengandungi audio 30 juzuk al-Quran dianggarkan bernilai RM230,000 dan menahan dua individu, dalam serbuan di sebuah premis di Batu Caves, Selangor.

KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan serbuan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, susulan jam digital tersebut tidak mempunyai perakuan KDN berdasarkan keperluan di bawah Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986.

“Mana-mana penerbitan al-Quran dalam pelbagai bentuk yang mengandungi satu juzuk atau lebih ayat al-Quran, hendaklah mendapatkan perakuan KDN terlebih dahulu sebelum diedar atau pun dijual di negara ini.

“Al-Quran yang tidak mempunyai perakuan KDN ini dikhuatiri mempunyai kesalahan dan mengelirukan masyarakat melalui sebutan dan bacaannya, dan akan membawa maksud tidak tepat sebagaimana ayat tersebut diturunkan,” menurut kenyataan itu.

KDN memaklumkan sehingga kini terdapat sejumlah 952 pruf akhir teks al-Quran termasuk al-Quran elektronik dan digital yang diluluskan KDN untuk jualan dan edaran di negara ini.

Menurut kenyataan itu KDN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pengimportan, pengedaran dan penjualan al-Quran yang menyalahi Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986.

Pada masa yang sama orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti membeli dan memiliki al-Quran yang tidak mendapat kelulusan KDN, kerana jika disabitkan kesalahan pihak atau individu terlibat boleh dihukum sehingga lima tahun penjara atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

“KDN menyeru orang ramai memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan teks serta bahan al-Quran tanpa kelulusan dan bahan penerbitan yang tidak diingini, dengan menghubungi di talian 03-8000 8000 / 8889 3145, emel [email protected] atau melalui laman web www.moha.gov.my,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA