KUALA LUMPUR – Seramai 121 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, Myanmar telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.
Kesemua mereka yang terkandas dan disyaki menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di utara Myanmar telah dibawa pulang ke tanah air melalui penerbangan khas Air Asia AK9106 dari Kunming, China jam 3.24 pagi tadi.
Ketibaan mereka telah disambut oleh Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri.
Kementerian Luar Negeri berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming berjaya menyelaras misi evakuasi ini dengan baik melalui sempadan negara Myanmar-China bermula pada pagi 30 November 2023 dengan kerjasama dan kelulusan dari negara-negara yang terlibat.
Tindakan evakuasi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan Datuk Seri Fadillah Yusof dengan kedua-dua Naib Premier China, Liu Guozhong dan Ding Xuexiang semasa lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri II ke negara tersebut pada 16 November yang lalu.
Kesemua warganegara Malaysia yang terkandas telah diberikan bantuan konsular dan logistik setelah memasuki sempadan negara China oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming termasuk penyelarasan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Cangyuan
Washan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui.
Kerajaan Malaysia juga turut membawa pulang seorang warganegara Indonesia dari Laukkaing setelah menerima permohonan rasmi daripada negara tersebut.
“Kementerian Luar Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak berwajib di negara Myanmar dan Kerajaan China serta agensi-agensi Kerajaan Malaysia dan pihak persendirian yang terlibat secara langsung atau tidak atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam memastikan proses evakuasi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette