KUALA LUMPUR – Seramai 15 pengamal tempatan daripada pelbagai agensi media dan portal akan menerima anugerah ‘Desam International Icon Awards 2023’ di Chennai, India esok.
Wartawan Malaysia Gazette antara penerima anugerah pencapaian antarabangsa yang diadakan buat kali kedua di negara tersebut.
Anugerah ini merupakan kerjasama antara Desam Media bersama-sama Kerajaan Negeri Tamil Nadu itu serta agensi lain petang esok di Hotel Le Royal Meridian, Chennai dan bakal dihadiri pelbagai nama besar termasuklah beberapa Menteri Kabinet Tamil Nadu serta pemimpin politik Malaysia.
Difahamkan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran juga akan menyerikan majlis anugerah ini esok.
Menurut penganjur yang juga pengasas Desam Media, Gunalan Manium, selain daripada pengamal media tempatan, pihaknya juga akan memberikan anugerah kepada beberapa media di Tamil Nadu untuk pelbagai kategori termasuklah penulisan terbaik, foto, video serta beberapa lagi.
Kata Gunalan yang juga seorang pengamal media berbahasa Tamil lebih empat dekad, anugerah ini sudah dilaksanakan oleh Desam Media di Malaysia untuk dua tahun sekali sejak 2017, 2019 dan 2023.
“Tahun ini ianya lebih istimewa dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di India. Sebelum ini, kami pernah buat adakan majlis anugerah ini untuk kali pertama di Thiruannamalai Tamil Nadu.
“Selain itu, kita juga akan memberikan penghormatan dan anugerah untuk lebih 100 organisasi serta individu yang cemerlang dalam bidang keusahawanan, aktiviti kemasyarakatan, industri hiburan, pertubuhan bukan kerajaan, pencapaian sepanjang hayat dan ikon terbaik tahunan dan media,” katanya hari ini. -MalaysiaGazette