Akmal Nasrullah Mohd. Nasir (tengah) hadir pada sidang media TFST berhubung status Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai Oktober 2023 di kementeriannya di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan sebanyak 50 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai dengan 4,986 unit perumahan bagi Oktober lalu.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, ia merupakan rekod tertinggi sepanjang tempoh 10 bulan sejak Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) diwujudkan bermula Januari 2023.

Menurut beliau, sepanjang tempoh tersebut, KPKT telah berjaya mencapai kejayaan yang signifikan dalam pemulihan projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di negara ini.

“Sehingga 31 Oktober lalu, terdapat pertambahan sebanyak 50 projek perumahan
swasta yang berjaya dipulihkan menjadikan keseluruhan projek perumahan swasta
berjaya dipulihkan adalah sebanyak 351 projek iaitu 43,738 unit rumah dengan nilai
pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM32.87 bilion.

“Pencapaian bagi Oktober merupakan angka tertinggi sejak TFST diwujudkan dan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada kumpulan kerja TFST dalam memastikan semua projek yang bermasalah dipantau dan diambil tindakan dengan proaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media TFST berhubung status Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai Oktober 2023 di kementeriannya di sini hari ini.

Peneroka Felda, Hanson Kasa menunjukkan projek perumahan Generasi ke-2 Felda yang terbengkalai hampir10 tahun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di kawasan Papan Timur Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 FEBRUARI 2022.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah menambah, sehingga 31 Oktober lalu, TFST telah merekodkan sebanyak 55 projek lewat, projek sakit adalah sebanyak 497 projek dan projek perumahan swasta yang telah disahkan terbengkalai adalah sebanyak 117.

Menurut beliau semua projek lewat, sakit dan terbengkalai membawa nilai GDV sebanyak RM74.92 bilion.

Namun jelas beliau, walaupun terdapat pertambahan projek sakit dan projek terbengkalai namun GDV telah berkurang sebanyak RM4.11 bilion.

“TFST mengambil pendirian bahawa dalam tempoh pemaju menyiapkan pemajuan perumahan, kebajikan pembeli yang menjadi mangsa projek perumahan bermasalah adalah perlu dibela.

“Justeru, TFST mencadangkan supaya projek di bawah program perumahan kerajaan atau Pihak Berkuasa Negeri yang terkesan dengan kelewatan atau mengalami status sakit untuk menerima manfaat daripada Dana Jaminan Khas berjumlah RM1 bilion seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Madani 2024 apabila diluluskan kelak,” katanya.

Akmal Nasrullah turut memberitahu, KPKT melalui urusetia TFST iaitu Jabatan Perumahan Negara (JPN) akan bersama Kementerian Kewangan akan meneliti dan memperhalusi kriteria untuk mengenalpasti kesesuaian dan keperluan dalam penentuan projek perumahan.

Ia katanya bertujuan agar peruntukan yang diberikan dapat dimanfaatkan dan digunakan dengan optimum dalam pemulihan projek perumahan swasta bagi menjaga kepentingan pembeli.

“TFST terus menjalankan pelbagai ikhtiar melalui semua sesi libat urus yang dijalankan
yang diharapkan menjadi ruang untuk semua pihak meneliti dan mengenalpasti isu-isu
utama yang menjejaskan industri perumahan di negara ini serta menyumbang pandangan
dan cadangan yang bersesuaian.

“Disamping itu, sesi pemantauan yang konsisten sama ada melalui kaedah turun tapak mahupun secara digital melalui sistem Housing Integrated Management System (HIMS) turut dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette

Keadaan terbengkalai projek pembinaan rumah Aspire Residence berhubung isu kelewatan pemaju ketika di Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 22 MAC 2022.