Nur Azizah Zamri kini sudah boleh memangku Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan

KUANTAN – Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan, 22 bulan, yang menghidap Atrofi Otot Spina (SMA) seolah-olah bayi yang baru dilahirkan semula setelah menerima suntikan terapi genetik Zolgensma sejak 26 Julai lalu.

Ketika ditemui di kediamannya di Permatang Badak, di sini hari ini, ibunya, Nur Azizah Zamri, 33, memberitahu anak bongsunya itu dalam proses mengenal semula dan menggunakan deria serta ototnya.

“Alhamdulillah, selepas terima suntikan tu banyak perkembangan positif dia (Muhammad Athif). Dulu langsung tak boleh bergerak, hanya terbaring. Sekarang dia (Muhammad Athif) dah boleh gerakkan tangan dan kaki.

“Lagi satu, sebelum ni tak boleh buka mesin ni, dia boleh berhenti bernafas, sekarang banyaklah perkembangan, kalau time mandi dah boleh buka selama 30 minit macam tu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan, yang menghidap Atrofi Otot Spina (SMA) jenis satu

Paling ketara, kata Azizah, anaknya itu sudah mula boleh dipangku sewaktu dia duduk, dan wajahnya tidak lagi kebiru-biruan jika dia cuba melakukan perkara sama sebelum ini.

Muhammad Athif yang mesra dipanggil Athif juga sudah mula bersuara, malah sudah boleh menjerit memanggil kakak-kakaknya, Putri Nur Azzahra, 6; dan Putri Nur Aafia, 5.

Menurut Azizah, Athif kini menjalani tiga sesi latihan yang membabitkan Terapi Pertuturan, Terapi Carakerja dan Fisioterapi selama dua jam setiap hari di Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park di Indera Mahkota, di sini untuk merangsang deria dan ototnya.

“Kami memang tak putus asa lah, bawa Athif untuk semua sesi tu daripada Isnin hingga Jumaat. Dan disebabkan sesi fisioterapi ini, Athif banyak improve daripada keadaan sebelum ini.

“Sekarang Athif dalam proses belajar untuk telan makanan, angkat kepala semasa meniarap dan belajar untuk pusing badan,” katanya.

Mohd Farhan Mohd Sait (kanan) dan dua kakak kepada Muhammad Athif Fahri yang sentiasa menghiburkannya di rumah.

Selain itu, Azizah berkata, dia dan suami, Mohd Farhan Mohd Sait bersyukur kerana tidak lagi perlu membawa Athif untuk menjalani rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan lebih kerap.

Sebelum ini mereka perlu membawa Athif seminggu sekali untuk pemantauan perkembangannya selepas menerima suntikan terapi genetik itu.

Namun, Azizah memberitahu bermula tahun hadapan, Athif hanya dikehendaki hadir untuk pemeriksaan susulan tiga bulan sekali di PPUM.

Muhammad Athif Fahri menghidap penyakit itu sejak dilahirkan dan memerlukan suntikan ubat jenis genetik Zolgensma bernilai kira-kira AS$2.1 juta bersamaan RM9.28 juta untuk kesan pulih seumur hidup.

Suntikan ubat genetik Zolgensma diperlukan bagi menghentikan proses kemerosotan fungsi ototnya yang terjejas akibat penyakit itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Jururawat perlu RM9 juta untuk rawat anak menghidap Atrofi Otot Spina

 

Kerajaan Negeri jamin tanggung baki kos perubatan Athif