Menteri Besar Terengganu yang juga calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada program MGSkop sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Kemaman di Chukai, Terengganu. Foto FAREEZ FADZIL, 26 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pengundi-pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman diminta mengambil kesempatan cuaca baik pada sebelah pagi untuk ramai-ramai keluar mengundi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhrtar berkata, ketidakpastian cuaca di sebelah petang yang memungkinkan hujan lebat turun akan menyebabkan pengundi-pengundi sukar untuk ke pusat pengundian.

“Kita berharap cuaca baik pagi ini bertahan sampai ke petang.

“Itu sepatutnya (pengundi keluar awal) sebab kita tidak pasti kalau boleh semua pengundi dapat keluar awal paling tidak jika berlaku hujan di sebelah petang setidak-tidaknya semua sduah dapat mengundi di sebelah pagi,” katanya selepas melawat tempat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Kerteh pagi tadi.

Lawan kepada calon Barisan Nasional (BN) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor itu turut berharap peratusan mengundi pada PRK kali ini dapat melebihi sasaran 70 peratus yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita berharap lebih tinggi lagi peratusan keluar mengundi walaupun cabaran dalam setiap PRK memang berdepan dengan cabaran keluar mengundi, jadi kita berharap suasana di Terengganu ini agak berbeza dan kesedaran pengungi saya harap lebih baik untuk keluar mengundi,” katanya lagi.

Sejumlah 141,043 pengundi layak mengundi pada PRK Kemaman kali ini yang diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid, pada PRU15. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast