Mohd Asri.

KEPALA BATAS – Seorang pelajar Tingkatan Satu ditahan polis selepas didakwa mencabul 14 pelajar orang kelainan upaya (OKU) di asrama sebuah sekolah menengah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, tangkapan ke atas remaja lelaki yang juga OKU berusia 13 tahun itu dibuat selepas polis menerima aduan daripada pengetua sekolah terbabit.

Jelas beliau, seramai 14 lelaki berusia antara 13 dan 14 tahun yang mengalami masalah pembelajaran, penglihatan, pendengaran serta autisme dilaporkan menjadi mangsa cabul suspek.

“Suspek telah ditahan semalam selepas kita terima laporan dan siasatan dijalankan mengikut Akta 14 Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak kerana melakukan amang seksual.

“Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Asri turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyembunyikan sebarang maklumat mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 19 akta yang sama iaitu kegagalan memberi maklumat mengenai perlakuan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak boleh didenda tidak melebihi RM5,000,” katanya. – MalaysiaGazette