Pihak polis dan forensik menjalankan siasatan di lokasi penemuan bayi perempuan di pesisiran pantai Persiaran Bayan Indah berhampiran pusat beli belah Queensbay, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Bau busuk di kawasan riadah berhampiran pesisiran pantai Persiaran Bayan Indah berhampiran pusat beli belah Queensbay di sini hari ini merungkai penemuan mayat seorang bayi perempuan.

Mayat bayi sempurna namun dikatakan kepalanya hampir terputus daripada badan itu ditemui orang awam terdampar di kawasan batu di persisiran pantai tersebut sebelum mereka memaklumkan kejadian kepada pihak polis pada pukul 5.55 petang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan awal mendapati mayat bayi  yang ditemui tanpa seurat benang itu disyaki dihanyutkan arus laut sebelum terdampar di tepi pantai.

“Mayat bayi berada dalam keadaan sempurna dan kita sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi proses bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi atau tampil ke balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Mayat bayi itu dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, saksi awam yang enggan dikenali berkata, dia dan pasangannya menyangka bau busuk itu datang daripada ikan mati memandangkan kawasan itu menjadi lokasi kaki pancing.

“Makin lama bau makin kuat membuatkan kami bergerak jauh dari lokasi asal dan selang beberapa minit kecoh penemuan mayat bayi.

“Ketika itu baru kami sedar rupanya bau busuk itu bukan bangkai ikan sebaliknya mayat bayi perempuan,” katanya di lokasi kejadian hari ini. – MalaysiaGazette