Foto Insgram Noh.

KUALA LUMPUR – Selepas lebih setahun berahsia, vokalis Hujan, Noh Salleh akhirnya mendedahkan wajah anak angkat, Musa Muhammad Noh buat pertama kali sempena ulang tahun kedua buah hatinya itu.

Menerusi hantaran di Instagram (IG) miliknya, Noh turut meluahkan kerinduan terhadap Musa.

“Selamat hari jadi kedua Musa Mohammad Noh… Rindu benar bapa kepada kamu.

“Allah saja tahu betapa sakit menahan rindu mahu berjumpa,” tulis penyanyi lagu Aku Skandal itu pada statusnya.

Pada masa sama, Noh juga berdoa agar mereka dapat disatukan kembali dan Musa mendapat layanan daripada seorang bapa.

“Semoga Allah satukan kita secepat mungkin, jadi kamu akan dapat layanan seorang ayah,” katanya.

Musa adalah anak angkat Noh bersama selebriti yang juga aktivis kemanusiaan Mizz Nina ketika mereka bergelar suami isteri.

Noh dan Mizz Nina mendirikan rumah tangga pada Julai 2011, namun mereka bercerai pada Ogos 2022 dan tidak dikurniakan zuriat.

Mereka mengumumkan kehadiran Musa pada Mac tahun lalu.

Pada September lalu, Noh bernikah dengan Fatin Athira Mustapa.

Mizz Nina pula mendirikan rumah tangga dengan penyanyi rap dan penulis lirik berketurunan Maghiribi dari Seattle, Amerika Syarikat, Essam Muhammad. – MalaysiaGazette