Foto Facebook Terengganu FC.

KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) mengumumkan tiket final Piala Malaysia yang menjadi rebutan ribuan peminat setianya habis dijual kurang 48 jam selepas dibuka kepada penyokong.

TFC akan bertemu dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 Disember ini.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, sebanyak 35,300 keping tiket final Piala Malaysia membabitkan empat kategori diberikan kepada pihak pengurusan TFC.

Jelasnya, tiket berkenaan mula dijual secara berperingkat kepada pemegang keahlian dan pas bermusim TFC 2023 serta kepada orang ramai.

“Jumlah yang diberikan kepada kami sebanyak 35,300 keping membabitkan empat kategori dengan jualan dilakukan secara dua peringkat iaitu kepada ahli pemegang pas bermula 28 hingga 30 November manakala kepada orang ramai bermula jam 3 petang pada 1 Disember.

“Alhamdulillah jualan yang semuanya melalui dalam talian menerusi Tickethotline habis terjual, kelebihan kepada pemegang kad keahlian dan pas bermusim kerana dapat membeli lebih awal.

“Manakala jualan kepada orang ramai habis kurang 48 jam selepas dibuka bagaikan pisang goreng panas, saya bagi pihak TFC Sdn Bhd memohon maaf kepada peminat yang tidak sempat mendapatkan tiket berkenaan.

“Harapan kami kepada semua peminat yang berjaya membeli tiket dan bakal hadir ke stadium agar dapat merancang jadual perjalanan serta sentiasa menjaga keselamatan terutama pada musim tengkujuh.

“Doakan semua pemain dan pegawai berada dalam keadaan kesihatan yang baik dalam misi mencipta kejayaan membawa pulang trofi berprestij itu,” kata Mohd Syahrizan di laman sosial kelab itu.

Terdahulu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan empat kategori tiket berharga RM50 dan RM70 bagi tempat duduk biasa manakala premium grandstand RM150 serta VIP grandstand RM200 bagi setiap keping. – MalaysiaGazette