Gunung Merapi

JAKARTA – Sekurang-kurangnya 11 pendaki terbunuh manakala 12 lagi hilang selepas Gunung Marapi di wilayah Sumatera Barat Indonesia meletus pada Ahad.

Letusan itu menyebabkan hujan abu di beberapa kawasan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Padang, Abdul Malik berkata, sekurang-kurangnya 49 pendaki selamat turun selepas letusan itu sementara usaha sedang dilakukan untuk memindahkan beberapa pendaki lain ke tempat selamat.

“Seramai 11 orang ditemui mati,” katanya.

Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan berkata gunung berapi setinggi 2,891 meter itu meletus selama hampir lima minit pada Ahad selepas menyaksikan aktiviti seismik selama berbulan-bulan.

Pihak berkuasa mewujudkan zon larangan tiga kilometer dari kawah gunung berapi berikutan letusan itu.

Marapi merupakan antara gunung berapi paling aktif di Sumatera dan kali terakhir meletus pada 2018. – Bernama-dpa