Saarani Mohamad menjawab secara lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh.

IPOH – Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar di Negeri Perak mencatatkan penurunan sebanyak 51 peratus berdasarkan rekod  sehingga 18 November lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia merekodkan seramai 4,819 orang KIR yang berada dalam kategori miskin tegar berbanding 9,402 orang sebelum ini.

Katanya, jumlah itu diperoleh daripada Pejabat Pembangunan Negeri Perak menerusi Bengkel Pelan Tindakan Menoktahkan Kemiskinan Perak yang melibatkan 53 agensi termasuk agensi pemberi bantuan, pejabat daerah dan tanah serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Lebih 100 program kesejahteraan rakyat di seluruh Perak telah diadakan dalam menyantuni golongan sasar ini dengan bantuan jabatan dan agensi pemberi bantuan.

“Antaranya program ‘Taskforce Mobile Team’, Program Keusahawanan, Kursus-Kursus Kemahiran, Bantuan Perniagaan, Baik Pulih atau Bina Baru rumah dan bermacam lagi dalam memastikan golongan sasar ini dibantu bagi mengeluarkan mereka dari kumpulan miskin tegar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin (PN- Chenderoh) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.

Selain itu Saarani (BN-Kota Tampan) berkata, antara usaha terkini kerajaan negeri adalah melaksanakan projek rintis ‘One Stop Centre – Sejahtera Sosial’ di Manjung, pada 11 November lalu.

Katanya, projek rintis yang melibatkan semua agensi dan jabatan pemberi bantuan itu diadakan bagi menyelesaikan masalah kesemua KIR miskin tegar di daerah tersebut secara ‘in-situ’ di samping memudahkan capaian perkhidmatan kepada mereka.

Pada masa sama, Saarani berkata, kerajaan negeri turut sedang giat mengumpulkan maklumat dari setiap daerah di Perak yang berada pada kategori tersebut agar dapat menyertai program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)yang dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi.

“Bagi pelaksanaan projek rintis terdapat peserta yang telah mula berjaya keluar dari golongan miskin tegar eKasih dengan memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 maksimum sebulan, di mana pendapatan awalan minimum sebulan mereka sebelum ini sebanyak RM500.

“Selain itu, pelbagai jenis bantuan yang telah mula diberikan kepada mereka ini juga telah menunjukkan bibit-bibit keberhasilan dengan menunjukkan pola peningkatan pendapatan mereka secara bulanan.

“Perkara ini adalah sebagai salah satu bukti kukuh bahawa kerajaan negeri sedang giat menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030 melalui Flagship 6 iaitu Membasmi Miskin Tegar menjelang tahun 2025,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette