KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil lagi sekali berkongsi keadaan terkini permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di laman media sosial miliknya.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan di laman Twitter miliknya, keadaan padang yang rosak selepas konsert Coldplay bulan lalu kelihatan masih belum pulih sepenuhnya.
Ia sekaligus menimbulkan tanda-tanya sama ada keadaan padang yang juga gelanggang keramat Harimau Malaya itu bersedia menjadi venue final Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu (TFC) pada Jumaat ini.
Sementara itu, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga seolah menyindir pengurusan Stadium Nasional apabila menganggap formula Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac menjadi.
“Standard yang baik untuk perlawanan akhir Piala Malaysia. Nampaknya formula anda menjadi Hans Isaac,” tulis TMJ.
Susulan daripada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi dilaporkan berkata, pihaknya akan melakukan kerja membaik pulih dengan kadar segera untuk digunakan bagi final Piala Malaysia.
Padang baharu Stadium Nasional yang menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia adalah tajaan daripada TMJ dan ia digunakan secara rasmi pada Pestabola Merdeka 2023, Oktober lalu. – MalaysiaGazette