Fadillah Yusof

PUTRAJAYA – Produk berasaskan komoditi keluaran tempatan dijangka berdepan cabaran besar pada tahun hadapan, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana terdapat peraturan-dan regulasi baharu yang akan diperketatkan di peringkat global, antaranya Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) 2020. 

“Persaing kita juga akan lebih agresif dalam memasarkan produk mereka dan bagaimana kita nak pastikan 2024 dengan anggaran pertumbuhan dunia yang menguncup 3 petatus, maka bagaimana kita nak pastikan produk kita ini akan dipasarkan di peringkat dunia.

“Di Malaysia kita hanya anggarkan pertumbuhan ekonomi negara sekitar 4 hingga 5 peratus. Cabarannya ialah kita kena mainkan peranan untuk capai lebih daripada 5 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Hari Agro Komoditi Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Setakat September tahun ini, sektor agrokomoditi telah menyumbang RM60 bilion atau kira-kira  5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai eksport sektor ini berjumlah  RM117.2 bilion atau kira-kira 11.06 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

Sementara itu, Fadillah berkata, Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) seperti peraturan untuk tidak menebang hutan-hutan baharu bagi penanaman agrokomoditi merupakan sekatan kepada perkembangan sektor itu.

“Ini merupakan sekatan yang mana bila misi kita ke Eropah dahulu untuk berbincang dan hasil perbincangan itu bersama Indonesia, mereka bersetuju untuk mewujudkan pasukan khas untuk melihat kepada peraturan itu sama ada peraturan itu beri kesan kepada negara kita.

“Mesyuarat pertama telah dilaksanakan di Jakarta dan mesyuarat kedua akan dilaksana pada Januari depan,” kata Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi dalam sidang medianya selepas majlis pelancaran tersebut.

EUDR adalah undang-undang alam sekitar baharu digubal menyasarkan lapan komoditi, termasuk minyak sawit, yang ditanam di tanah yang dibersihkan selepas 2020.

EUDR telah diluluskan Parlimen Eropah April lepas, yang mana ia mewajibkan syarikat memastikan produk yang dijual di Kesatuan Eropah (EU) tidak membawa kepada penebangan hutan.

Peraturan itu meliputi lembu, koko, kopi, minyak sawit, soya, kayu, getah, arang dan produk kertas bercetak.

Mengulas lanjut, Fadilllah berkata, kerajaan merancang untuk mengeluarkan produk-produk baharu sektor agrokomoditi yang boleh meningkatkan pendapatan negara.

“Disamping itu kita kena lihat bagaimana agrokomoditi ini bukan sahaja fokus kepada proses penanaman dan pemprosesan malah kita nak kaitkan agrokomoditi ini dengan pelancongan.

“Maka ia akan jadi agrokomoditi tapi agro pelancongan. Salah satu contoh yang berjaya adalah dalam sektor koko negara,” katanya. – MalaysiaGazette