BALIK PULAU – Polis menahan seorang wanita dan lelaki yang dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket phone scam di daerah Barat Daya.
Tangkapan itu membabitkan kerugian berjumlah RM70,720.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, tangkapan ke atas perempuan berusia 30 tahun itu dilakukan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah.
Manakala suspek lelaki berusia 29 tahun pula ditahan di pekarangan Balai Polis Bukit Mertajam di sini.
Menurut beliau, siasatan mendapati akaun suspek wanita itu digunakan untuk memperdaya seorang lelaki kononnya ada bungkusan atas nama mangsa yang mengandungi kad pengenalan, pasport serta kad bank.
“Bimbang sesuatu buruk dan panik, mangsa membuat sembilan transaksi secara dalam talian ke empat penama akaun berbeza berjumlah RM57,000.
“Bagi kes tangkapan suspek lelaki pula, mangsa merupakan seorang wanita berusia 48 tahun dan modus operandi sama digunakan untuk memperdayakannya.
“Mangsa membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM20,720,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Kedua-dua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan.
Kamarul Rizal turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan pinjaman tidak wujud, tawaran kerja luar negara, Macau Scam, Love Scam dan lain-lain. – MalaysiaGazette