Malam di Gaza diterangi dengan bom dan kebakaran akibat serangan Israel.

WASHINGTON – Amnesty International mendedahkan Senjata Serangan Langsung Bersama (JDAM) buatan Amerika Syarikat (AS) telah digunakan dalam dua serangan udara berasingan ke atas rumah orang awam di Gaza.

Badan pemerhati hak asasi manusia itu menggesa agar serangan yang membunuh 19 kanak-kanak, 14 wanita dan 10 lelaki disiasat sebagai jenayah perang.

“Hakikat bahawa amunisi buatan AS digunakan oleh tentera Israel dalam serangan yang menyalahi undang-undang dengan akibat yang membawa maut kepada orang awam sepatutnya menjadi satu kesedaran kepada pentadbiran Biden.

“Dua keluarga telah musnah dalam serangan ini, bukti selanjutnya bahawa tentera Israel bertanggungjawab membunuh dan mencederakan orang awam secara tidak sah dalam pengebomannya ke atas Gaza,” kata Setiausaha Agung Amnesty International, Agnès Callamard.

Menurut Al Jazeera, kedua-dua rumah itu berada di Wadi Gaza di mana tentera Israel telah mengarahkan penduduk di utara Gaza untuk berpindah pada 13 Oktober lalu.

Sebelum ini The Wall Street Journal melaporkan, AS telah membekalkan apa yang dipanggil bom bunker buster dan pelbagai amunisi lain kepada Israel untuk perang ke atas Gaza.

Washington telah memindahkan 100 bom BLU-109 ke Israel yang boleh menembusi struktur keras sebelum meletup, kata laporan itu, memetik pegawai AS yang tidak dinamakan.

Bom itu membawa kepala peledak seberat lebih 900 kilogram (19,80 paun) dan sebelum ini digunakan oleh AS dalam konflik termasuk perang di Afghanistan.

Ia bukan satu-satunya jenis peluru yang disediakan oleh AS kepada Israel untuk perang ke atas kawasan yang terkepung itu.

Laporan WSJ berkata, lonjakan senjata AS ke Israel sejak permulaan perang termasuk 15,000 bom dan 57,000 peluru artileri 155mm yang kebanyakannya dibawa oleh pesawat kargo tentera C-17.

Washington juga telah menghantar lebih 5,000 bom Mk82 tidak berpandu, lebih 5,400 bom Mk84, kira-kira 1,000 bom berdiameter kecil GBU-39, dan kira-kira 3,000 JDAM, kit panduan yang menukarkan bom tidak berpandu kepada peluru berpandukan ketepatan.

Seramai 15,900 rakyat Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 6,150 kanak-kanak maut dalam serangan Israel ke atas Gaza. – Agensi