Kredit: JKM

JERTIH – Jabatan Kebajikan Masyarakat (KKM) daerah Besut sedang mengesan ibu kandung kepada seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan sejak September lepas.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Besut Zulbahri Ibrahim berkata bayi itu ditinggalkan ibunya, Wan Azlina Wan Mohamad ketika mendapatkan rawatan di HUSM.

“Pihak pengurusan hospital merujuk bayi itu yang dilahirkan pramatang pada 10 Sept lepas kepada JKM bagi tindakan lanjut selepas ibu bayi tersebut menghilangkan diri apabila bayinya perlu ditahan di wad kerana masalah kesihatan.

“Alamat terakhir wanita itu adalah di Kampung Padang Landak di Jertih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulbahri berkata pada 23 Nov lepas, pihaknya telah memperoleh perintah Mahkamah Majistret Daerah Besut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menempatkan bayi itu di bawah jagaan institusi JKM sehingga kini.

Beliau berkata usaha mengesan Wan Azlina sebelum ini menemui jalan buntu hingga pihaknya terpaksa membuat hebahan.

“Dia (Wan Azlina) tidak perlu takut untuk tampil kerana tidak ada sebarang tindakan akan diambil ke atasnya oleh JKM, sebaliknya ia adalah bagi urusan pengesahan status penjagaan bayi tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang ibu kandung bayi berkenaan boleh menghubungi Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Besut, Noradawiah Ab Manaf di talian 09-6956042/09-6953951,” katanya. – BERNAMA