Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim dalam Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri yang disiarkan TV3 malam ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya ‘politik tebuk atap’ yang cuba menggugat Kerajaan Madani pada peringkat awal penubuhannya kini sudah berlalu.

Menurut beliau, hakikat yang diketahui umum adalah kerajaan pimpinannya sekarang adalah lebih kuat.

“Bila kuat, apa yang harus kita lakukan? Tumpu pertumbuhan ekonomi, mutu pendidikan dan kesihatan lebih baik.

“Dan tentulah seperti yang saya pernah katakan, isu sosioekonomi, menoktahkan kemiskinan tegar,” katanya dalam Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri yang disiarkan TV3 malam ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga yakin kekuatan Kerajaan Perpaduan di Parlimen tidak boleh digugat sekali gus memastikan situasi politik negara dalam keadaan aman dan stabil.

Beliau yang yang juga Menteri Kewangan berkata, kekuatan itu akan dimanfaatkan untuk membangunkan negara dan ekonomi serta membela nasib rakyat.

“Akan menyeberang, betul kalau ada, 50, 60 menyeberang, silakan saya tidak mampu menghalang. Tetapi dalam hukum politik sekarang, itu igauan. Sekarang saya tidak pedulikan itu,” jelasnya.

Anwar memberitahu, tumpuannya kini adalah untuk membangunkan negara dan mengelakkan daripada unsur-unsur yang negatif.

“Saya yakin kalau ini yang dapat kita lakukan, lepas setahun kita dapat tingkatkan, Malaysia akan lebih harum dan hebat di rantau ini,” katanya. – MalaysiaGazette