NEW YORK – Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Dennis Francis mengulangi gesaan supaya gencatan senjata dilaksanakan segera di Gaza.
Dalam catatan di platform X, Francis cemas dan sedih dengan perkembangan terbaharu di kawasan itu.
“Saya amat bimbang dan sedih dengan permusuhan berterusan di Timur Tengah.
“Saya mengulangi gesaan saya untuk gencatan senjata kemanusiaan jangka panjang; pembebasan tanpa syarat semua tebusan yang tinggal dan untuk akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin,” katanya.
Pada 27 Oktober lalu 120 daripada 193 ahli Perhimpunan Agung mengundi menyokong gencatan senjata kemanusiaan segera, dengan 14 negara mengundi menolak dan 45 berkecuali.
Jumlah penduduk Palestin yang terkorban kini mencecah 15,899 orang dan 42,000 cedera manakala di Tebing Barat 260 maut dan 3,365 cedera.-Agensi