Greta Thunberg dan kumpulannya Fridays for Future Sweden mengecam keganasan Israel.

STOCKHOLM – Aktivis iklim Greta Thunberg dan kumpulan hak asasinya, Fridays for Future Sweden, terus bersuara menentang pembunuhan beramai-ramai tentera Israel terhadap penduduk Palestin.

Dalam satu artikel yang disiarkan di The Guardian, beliau berkata, jumlah kematian di Gaza yang tertinggi dalam sejarah tidak boleh dibiarkan.

Katanya, mengambil sikap berdiam diri sama seperti bersetuju dengan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel terhadap penduduk Gaza.

“Apabila pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyeru dunia untuk bertindak mencegah pembunuhan beramai-ramai, sebagai sesama manusia, kita mempunyai tanggungjawab untuk bersuara.

“Menuntut penamatan keganasan yang tidak boleh dimaafkan ini adalah persoalan kemanusiaan asas, dan kami menyeru semua orang yang boleh berbuat demikian.

“Diam adalah keterlibatan. Anda tidak boleh bersikap neutral dalam pembunuhan beramai-ramai yang berlaku,” tegasnya.

Beliau mempersoalkan sikap berdiam diri terutama negara Barat walaupun berpuluh pakar PBB dan beratus sarjana antarabangsa menyatakan tindakan Israel merupakan pembunuhan beramai-ramai.

Greta menegaskan, pembunuhan orang awam Israel oleh Hamas sama sekali tidak boleh menghalalkan jenayah perang Israel yang berterusan.

“Pembunuhan beramai-ramai bukanlah mempertahankan diri, dan juga bukan satu tindak balas yang seimbang.

“Ia juga tidak boleh diabaikan bahawa ini datang dalam konteks yang lebih luas di Palestin yang telah hidup di bawah penindasan yang menyesakkan selama beberapa dekad, dalam apa yang ditakrifkan oleh Amnesty International sebagai rejim apartheid,” tegasnya.

Greta berkata, beliau dan kumpulannya berasa bertanggungjawab terhadap pembunuhan penduduk Gaza kerana kerajaan mereka bekerjasama dengan syarikat pembuat senjata Israel.

“Sebagai gerakan Sweden, kami juga mempunyai tanggungjawab untuk bersuara kerana kerjasama ketenteraan Sweden dengan syarikat senjata Israel, yang menjadikan Sweden terlibat dalam pendudukan Israel dan pembunuhan besar-besaran,” katanya.

Lebih daripada 15,000 orang yang mana sekurang-kurangnya 6,000 adalah kanak-kanak maut dalam serangan Israel.

Regim itu juga telah mengebom infrastruktur masyarakat asas dan sasaran awam seperti hospital, sekolah, tempat perlindungan dan kem pelarian.

Israel juga didakwa menggunakan “kebuluran sebagai senjata perang” apabila menghalang makanan, ubat, air dan bahan api sampai kepada 2.3 juta penduduk di Gaza. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast