Seorang kanak-kanak yang cedera dibawa keluar dari kawasan yang dibom oleh Israel

NEW YORK – Secara purata setiap 10 minit seorang kanak-kanak di Gaza terbunuh dalam serangan yang dilakukan oleh Israel.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam taklimat kepada media di Geneva hari ini mengambarkan situasi itu sebagai ‘masa yang paling gelap buat umat manusia.

“Kami bercakap hampir 16,000 orang terbunuh, lebih 60 peratus adalah wanita dan kanak-kanak, dan lebih 42,000 orang cedera,” kata Richard Peeperkorn, wakil WHO di wilayah Palestin.

Peeperkorn menambah; “Secara purata seorang kanak-kanak terbunuh setiap 10 minit di Gaza. Saya fikir dalam erti kata itu kita hampir dengan masa paling gelap umat manusia.”

Beliau menegaskan, gencatan senjata perlu dilaksanakan dengan segera bagi mengelakkan lebih ramai bayi dan kanak-kanak menjadi mangsa.

Media melaporkan serangan berterusan Israel telah menyebabkan 6,000 bayi dan kanak-kanak terkorban.- Agensi